Dalam menempuh arus kemodenan yang berpaksikan sains dan teknologi maklumat yang semakin berkembang ini,gejala sosial yang tidak sihat sering menghantui golongan mentah yang masih hijau untuk membentuk sahsiah diri yang unggul dalam diri mereka.Gejala-gejala yang tidak sihat ini haruslah diketepikan untuk menjamin kualiti kehidupan yang lebih sempurna sebagai seorang remaja.Remaja merupakan kelompok yang berumur dalam lingkungan 13 tahun hingga 19 tahun,mereka semua masih tercari-cari matlamat dalam kehidupan yang penuh onak dan duri ini.Kelompok muda ini juga masih keliru untuk mencorak identiti sendiri dalam merentasi lautan manusia yang penuh dengan senario-senario yang sangat mengelirukan pandangan mereka.Persoalannya mampukah golongan yang masih berumur setahun jagung ini berupaya menanam sahsiah diri yang terpuji dalam diri? Mampukah mereka mengorak langkah menjadi modal insan yang berkreadibiliti pada masa hadapan? Oleh itu,sebelum kulit menjadi kendur,sebelum nyawa menjadi lebur,sebelum gejala negatif ini bermaharajalela, moleklah kita melebarkan fokus perbincangan mengenai peranan remaja dalam  membentuk sahsiah terpuji.



       Mari kita kupaskan satu persatu bermula dengan kata kunci yang lebih khusus iaitu tanggungjawab sebagai seorang anak.Tanggungjawab sebagai seorang anak haruslah dilaksanakan untuk mendapat keberkatan dan doa daripada ibu bapa.Anak-anak haruslah mendengar nasihat dan pendapat daripada ibu bapa.Hal ini wajar diberi penekanan kerana ibu bapa adalah golongan yang sudah masak akan senario dunia dan lebih terdahulu makan garam daripada anak-anak.Anak-anak haruslah menjalin hubungan yang akrab dengan orang tuanya supaya perasaan kasih sayang yang mendalam akan timbul dalam lubuk hati mereka.Seterusnya,dengan terjalin ikatan silaturahim yang kuat seperti simpulan tali yang sukar dileraikan antara anak-anak dengan ibu bapa,anak-anak dengan mudahnya akan mendapat dorongan dalam semua tindakan dan keputusan rasional yang diputuskan oleh mereka sendiri.Anak-anak juga harus menghormati segala keputusan ibu bapa, mereka perlu percaya akan keputusan yang telah dinoktahkan oleh orang tua mereka kerana tidak ada seorang pun ibu atau bapa yang ingin melihat anak-anak mereka bergelumang dalam masalah yang rumit.Anak-anak perlu tahu kedalaman Lautan Pasifik tidak dapat dibandingkan dengan kedalaman kasih sayang seorang ibu dan bapaMaka,ibu bapa adalah pemudah cara dalam merungkai krisis yang dihadapi oleh kelompok muda ini.Analoginya,obligasi sebagai seorang anak haruslah ditunaikan oleh semua remaja dalam mencorak sahsiah diri yang terpuji.




       Seterusnya mari kita melebarkan lensa fokus perbincangan kita dengan menggunakan minda kelas pertama dengan memperkatakan kebijaksaan dalam memilih rakan sebaya.Memang tidak dinafikan sikap dan perlakuan seseorang dapat mempengaruhi fikiran orang lain.Maka pengaruh yang baik tentunya akan dapat mencetuskan emosi dan rohani yang seimbang terhadap diri seseorang.Tetapi jika pengaruh sikap negatif terus ditanyangkan,adakah majoriti muda akan terus hanyut dalam kebejatan dunia ini ?Oleh hal yang demikian,remaja perlulah bijak dalam membuat pemilihan rakan sebaya supaya tidak terjebak dalam lembah kegelapan atau perkataan yang lebih khusus ialah gejala sosial.Remaja haruslah teguh mengamalkan konsep buang yang keruh ambil yang jernih.Hal ini diperkatakan demikian kerana remaja masih belum menghadapi asam garam kehidupan yang penuh penipuan dan golongan ini sewenang-wenangnya mengambil lewa akan isu ini dengan perasaan yang membuak-buak inginkan keseronakan dunia.Malang tidak berbau,sebelum nasi menjadi bubur,sebelum perkara buruk berlaku,remaja haruslah memilih rakan sebaya yang positif kerana rakan yang positif akan cenderung mendorong rakannya melakukan perkara yang lebih berfaedah dalam pelbagai hal.Janganlah sudah terhantuk baru tengada kerana sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada guna.Tegasnya,tindakan ini perlu dilakukan supaya remaja tidak bercampur dengan insan yang pentingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing.






       Indikator seterusnya,remaja haruslah berpandangan jauh dan berfikiran positif dalam melakar titik permulaan untuk menjadi seorang yang berkepimpinan.Kesinambungan daripada itu,remaja kelas pertama akan sentiasa bertekad mencantas sikap buruk dalam diri mereka.Remaja perlulah mempunyai matlamat yang jelas dan mengubah sikap negatif yang akan menjadi halangan untuk terus berdiri teguh dalam dunia yang bergelumang dengan anasir-anasir jahat ini.Kesedaran dalam diri seorang remaja adalah penting bagi menjamin kesejahtera hidup.Remaja haruslah mengambil inisiatif sendiri untuk memajukan setiap aspek diri dengan keazaman yang tinggi kerana hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih.Peribahasa di mana ada kemahuan di situ ada jalan juga perlu digenggam erat dalam hati para remaja supaya tidak cepat berputus asa dalam mentranformasikan diri mereka menjadi benih yang baik seterusnya menjadi pokok yang akan menghasilkan banyak buah yang ranum.Tokoh cerdik pandai juga menyatakan jika benih yang baik dilontar ke udara menjadi kejora,dibaling ke laut menjadi pulau,dicampak ke bumi menjadi penawar.Istilah ini menerangkan jika insan yang baik diletakkan dimana-mana sahaja mereka pasti akan dapat menjadi warga yang dipandang tinggi oleh masyarakat.Maka,remaja haruslah mengubah perkara yang boleh mengaibkan diri mereka daripada menjadi buah mulut masyarakat sekeliling.Sesungguhnya,semangat yang kental menjadi pemangkin dalam membentuk remaja berkualiti.




       Kata kunci seterusnya adalah ilmu dan agama.Mari kita perhalusi fokus perbincangan kita dalam membahaskan ilmu itu pelita hidup.Hidup tanpa ilmu,ibarat gasad tanpa nyawa.Albert Einstein menyatakan agama tanpa ilmu adalah buta,ilmu tanpa agama adalah lumpuh.Jadi,sudah terang lagi bersuluh,ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang mendalam untuk menjadi seseorang yang berwawasan.Oleh hal yang demikian,remaja haruslah cinta akan ilmu kerana remaja yang sentiasa menggali ilmu mampu menutup ruang-ruang kosong yang akan menggundang persepsi negatif masyarakat.
Chambers juga ada menyatakan buku adalah penasihat yang kekal.Remaja perlulah menimba ilmu sebanyak yang mungkin dan sentiasa berkongsi buah fikiran dengan orang lain.Hal ini diperkatakan demikian kerana manusia yang tidak lokek dalam menyebarluaskan ilmu sentiasa mendapat keberkatan daripada Tuhan dan dihormati semua golongan masyarakat.Remaja tidak seharusnya bersikap tangkai jering dalam berkongsi ilmu yang ada,sebaliknya bersikap murah hati dalam berkongsi ilmu dunia.Bertitik tolak dari manifestasi tersebut,remaja juga harus beramal soleh kerana remaja cemerlang akan sentiasa menunaikan tugasnya sebagai insan yang berpegang teguh kepada agama.Sesunguhnya agama akan membawa kita semua ke jalan yang benar.Oleh itu,semua golongan tidak mengira batasan umur haruslah menunaikan sembayang dan berdoa supaya dapat menjadi khalifah yang baik di bumi ini.Tegaslah bahawa ilmu dan agama adalah penting untuk menjamin sahsiah diri yang unggul dalam diri seorang remaja.



       Setelah menjalani perbincangan secara panjang lebar,jelaslah remaja perlu mengasimilasikan kesemua peranan tersebut supaya dapat menjadi insan yang ketengah boleh ketepi pun boleh.Yang paling perlu ialah remaja sendiri perlu memainkan peranan sebagai remaja kelas pertama yang dapat membentuk sahsiah cemerlang.Setiap remaja harus membuka mata dan meyedari peri pentingnya generasi kini dalam melukis kejayaan dan kegemilangan negara kerana pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara.Saya yakin setiap remaja mampu mengorak langkah untuk membentuk sahsiah diri cemerlang sekali gus mampu membawa nama Malaysia ke landasan global sebagai negara maju selaras dengan wawasan 2020.Hasrat Tun Dr.Mahatir ini wajar kita semua tunaikan bagi menjamin kemashalatan bangsa dan negara untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara berdaulat yang lain.Marilah kita menyeru semua golongan remaja supaya menjadi insan yang kecil-kecil cili padi.Biarlah kelihatan mentah tetapi pemikiran yang matang sudah tersemai dalam diri mereka.Remaja harus bangkit dan terus menaiki kemuncak kegemilangan.Sesunguhnya usaha itu tangga kejayaan,sahsiah diri yang terpuji itu adalah rencah untuk mendapat kesejahteraan dalam kehidupan.
      

W E L C O M E



Hai,selamat menggali ilmu dunia. Now or Never!

Moonlight is the proof that there will always be light in the darkness

P A T H

DIARY
ME

Credit's

Basecode:Anis
Designer:Dinie